KUALA LUMPUR – Lima penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret Bangi di sini atas tuduhan membunuh seorang pemandu lelaki dalam kejadian tular di media sosial yang menunjukkan mangsa diikat tangannya sebelum ditarik keluar daripada kereta dan dipukul.
Lima tertuduh itu, Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43, dan Syamsul Qamar Ayob, 40, kelihatan bersahaja dan sugul sebelum angguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dikemukakan di hadapan Majistret, Nurdiyanah Mohd Nawawi.
Namun tidak ada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kelima-lima lelaki itu didakwa membunuh Shahril Samad, 42, di Jalan TPS 2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang, jam 9.54 malam pada 20 Februari lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibacakan bersama Seksyen 34 KK yang membawa kepada hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 25 April depan untuk status dokumen forensik, kimia serta bedah siasat. -MalayaDailyToday
Discussion about this post