GOMBAK – Seorang lelaki berusia 23 tahun menjadi mangsa ugutan siber selepas video bogelnya dirakam dan dijadikan bahan ancaman oleh seorang wanita yang dikenalinya melalui aplikasi cari kenalan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata mangsa mengenali suspek menerusi aplikasi Tantan sebelum mereka bertukar nombor telefon dan berhubung melalui WeChat.
“Suspek menunjukkan minat terhadap mangsa dan seterusnya melakukan panggilan video sebelum kedua-duanya diminta menanggalkan pakaian.
“Tidak lama selepas itu, wanita tersebut menghantar mesej ugutan melalui WhatsApp, mengancam untuk menyebarkan video berkenaan sekiranya mangsa enggan membayar sejumlah wang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa yang ketakutan kemudiannya membuat dua bayaran ke akaun bank digital yang mempunyai kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) seperti diarahkan suspek, melibatkan jumlah keseluruhan RM9,000.
“Akibat penipuan itu, mangsa mengalami kerugian RM9,000,” katanya sambil menambah siasatan kini tertumpu kepada usaha mengenal pasti pemilik akaun bank digital dan nombor telefon yang digunakan oleh suspek.
Noor Ariffin turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika berinteraksi dalam talian, terutama dengan individu tidak dikenali yang cuba membina hubungan peribadi dengan cepat atau melakukan panggilan video berisiko.
“Orang ramai digesa tidak mudah mempercayai individu yang baru dikenali dalam talian dan segera melaporkan sebarang cubaan ugutan atau eksploitasi kepada pihak polis,” katanya. -MalayaDailyToday

























































