KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku membuat laporan palsu terhadap seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerana takut didakwa atas kesalahan terlibat dalam skim kutu.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh mangsa fitnah itu, Datuk S Murugan setelah lelaki itu yang juga seorang pengurus hadir ke pejabatnya dan menyerahkan salinan laporan polis mengakui perbuatannya.
Kata Murugan, sebelum ini terdapat sekumpulan individu yang menyebarkan fitnah berhubung dirinya selain membuat laporan tidak benar dengan mendakwa beliau telah melakukan penipuan pelaburan.
Hanya selepas Murugan tampil membersihkan nama beliau dengan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu-individu itu, lelaki itu tampil menarik kembali tuduhannya.
“Lelaki itu hadir ke pejabat saya pagi ini setelah melihat laporan akhbar semalam dan memohon maaf serta memaklumkan beliau telah menarik balik laporan polis yang dibuat bersama sembilan individu lain.
“Dia juga menyerahkan salinan laporan polis yang telah ditarik balik selain membuat pengakuan bahawa dirinya terpaksa membuat laporan ‘palsu’ kerana mendapat tekanan daripada pemain-pemain kutu lain,” katanya dalam sidang media hari ini.
Difahamkan, dalam laporan polis lelaki itu akui jika dakwa ditipu dalam pelaburan, peluang untuk mendapatkan balik wangnya adalah lebih cerah dan proses itu lebih cepat.
“Beliau turut diugut jika mengaku terlibat dengan kutu, beliau akan diambil tindakan dan wang pelaburannya akan hangus begitu sahaja, kerana takut lelaki itu juga menyertai yang lain membuat laporan terhadap saya.
“Tetapi apabila saya buat sidang media dan juga menyuruh peguam saya ambil tindakan, lelaki ini muncul. Dia semalam telah hadir ke IPD Sentul dan menarik laporan sebelum datang kepada saya pagi ini.
“Saya ada minta beliau buat sidang media dengan saya tapi kerana takut dengan apa yang mungkin berlaku, lelaki itu enggan dan hanya mohon maaf,” katanya.
Semalam media melaporkan akibat menyertai skim kutu diasaskan oleh rakan baik, seorang ahli perniagaan mendakwa dituduh sebagai ‘scammer’ selepas kepala kutu melarikan diri kerana gagal melunaskan bayaran kepada ahlinya sejak enam bulan lalu.
Murugan dakwa telah menyertai skim berkenaan sejak 2019 dan membuat pembayaran RM20,000 sebulan sebelum kerugian kira-kira RM120,000 apabila skim itu mula bermasalah.
“Nama dan reputasi saya tercalar apabila sekumpulan individu yang juga pemain mendakwa saya adalah ‘scammer’ sebuah skim pelaburan dan cuba memberi rasuah kepada polis untuk menutup kes dan sebagainya.
“Saya terpaksa bersih nama dengan buat laporan polis, ambil tindakan undang-undang kerana ini tidak betul. Saya akan hantar surat tunjuk sebab kepada sembilan individu ini untuk menarik laporan dan memohon atau mereka perlu berdepan dengan saman fitnah dalam tempoh,” kata Murugan. -MalayaDailyToday