KUALA LUMPUR – Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Batu Caves menegur kenyataan EXCO Kerajaan Negeri Selangor, YB Paparaidu Veraman, yang didakwa mengelirukan berhubung permohonan pembinaan eskalator di perkarangan kuil.
Datuk N Sivakumar, Pemegang Amanah Kuil, menegaskan kenyataan berkenaan tidak mengambil kira fakta sebenar dan proses perundangan yang telah dilalui pihak kuil.
“Permohonan awal untuk pembinaan eskalator dikemukakan oleh pentadbir kuil kepada Pejabat Tanah Selayang berdasarkan Perintah Mahkamah, namun ditolak kerana kuil tidak tersenarai di bawah ROS atau ROC.
“Permohonan kedua dilakukan atas nama Pengerusi Jawatankuasa Kuil dengan kebenaran semua ahli jawatankuasa dan bukannya atas kapasiti peribadi beliau,” kata Datuk N Sivakumar dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa status perundangan Kuil Batu Caves adalah melalui Perintah Mahkamah, bukannya ROS atau ROC.
Semua prosedur permohonan dijalankan mengikut nasihat pihak berkuasa tempatan, Pejabat Daerah, dan Pejabat Tanah, dengan dokumentasi lengkap.
“Isu ini kini sedang dibicarakan di mahkamah untuk tindakan lanjutan,” tambah beliau.
Sivakumar turut menegaskan bahawa dakwaan pihak pengurusan kuil mengutip derma awam bagi pembinaan eskalator adalah tidak benar.
“Apakah bukti yang menyokong kenyataan ini? Ia tidak mencerminkan kebenaran. Kami memohon kebenaran sahaja, bukan peruntukan kewangan atau sumbangan dana,” katanya.
Beliau menambah kenyataan YB Paparaidu yang mendakwa peruntukan dana daripada Kerajaan Negeri untuk projek eskalator juga tidak tepat.
“Sebarang komitmen sebelum ini hanyalah untuk pembinaan dewan serbaguna dan penubuhan Pusat Kebudayaan India di perkarangan kuil, bukan untuk eskalator,” jelas Sivakumar.
Beliau mengingatkan bahawa kenyataan yang tidak berasaskan fakta boleh mengelirukan orang ramai dan menjejaskan hubungan baik kuil dengan pihak kerajaan.
“Kenyataan seperti ini boleh memecahbelahkan persahabatan yang terjalin antara pihak kuil dengan Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor. Saya menyeru YB untuk membuat kajian fakta sebelum mengeluarkan kenyataan awam,” kata beliau.
Sivakumar juga menekankan bahawa pengurusan kuil komited memastikan proses pembinaan eskalator dijalankan mengikut undang-undang, memelihara keselamatan, warisan, serta kepentingan penganut dan pelawat.
“Demi kepentingan umum, kami sedia bersemuka dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan, termasuk Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan agensi berkenaan bagi mencapai penyelesaian yang tepat dan adil,” tambah beliau.
Beliau mengingatkan bahawa setiap kenyataan awam berhubung permohonan kuil perlu merujuk kepada dokumen rasmi dan asas perundangan yang sah.
“Buatlah ‘homework’ sebelum berucap. Jika YB sendiri mengatakan peruntukan dana diberi untuk projek eskalator, mengapakah kami masih perlu memohon kebenaran pembinaan?
“Kenyataan seperti ini mengelirukan dan tidak membantu orang ramai memahami kedudukan sebenar,” tegas Sivakumar. -MalayaDailyToday





























































