KUALA LUMPUR – Walaupun kerajaan memberi lanjutan 6 bulan hingga April 2025 untuk mematuhi larangan pameran produk tembakau, kedai runcit dan peruncit kecil masih bergelut dengan kos dan tekanan yang tinggi.
Bagi ramai, lanjutan ini hanyalah “plaster sementara” untuk masalah yang lebih besar—kos besar dan kekeliruan tentang cara melaksanakan larangan ini. Dalam keadaan ekonomi yang makin mencabar, ramai peniaga tertanya-tanya, adakah mereka mampu bertahan?
Presiden Persatuan Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng, menyatakan rasa kecewa dengan pendekatan kerajaan:
“Setiap kedai perlu belanja sehingga RM6,000 untuk ubahsuai rak-rak mereka, dan tiada bantuan kewangan dari kerajaan. Macam mana kami nak terus beroperasi dalam keadaan macam ni?”
Isu Kos Pematuhan dan Operasi: Peruncit kecil kini berdepan kesukaran mencari dana untuk membuat perubahan yang diminta. Kedai runcit yang hanya mempunyai beberapa orang pekerja juga perlu menambah pekerja untuk menguruskan produk yang disembunyikan, menyebabkan kelewatan servis pelanggan dan gangguan operasi.
Hong menabah: “Ini bukan sekadar larangan pameran, tapi impak keseluruhan kepada cara kami berniaga. Kos pematuhan sahaja dah cecah RM300 juta untuk seluruh negara. Perniagaan kecil macam kami memang tersepit.”
Pasaran Gelap Semakin Berleluasa: Ketika kerajaan memperketatkan kawalan ke atas produk sah, peniaga pasaran gelap mula mengambil kesempatan. Dengan produk sah kini perlu disorok, pelanggan mungkin beralih kepada barang seludup yang lebih mudah diakses.
“Kita dah tengok fenomena di atas talian—vape dijual dalam bentuk menyerupai batang pen, gam UHU, dan KitKat,” kata Hong. “Kalau barang sah disembunyikan, pelanggan takkan susah-susah cari. Mereka akan beli yang haram. Susah nak beza produk sah dengan seludup bila dua-dua tak boleh nampak.”
Kesimpulan: Peniaga kecil kini dalam dilema—patuh pada undang-undang dan terpaksa keluarkan kos besar atau berdepan risiko hilang pelanggan kepada pasaran gelap. Ramai berharap kerajaan akan memanjangkan lagi tempoh pelaksanaan dan memberi bantuan kewangan.
“Kerajaan perlu fikir balik strategi ni. Kami setuju untuk ikut undang-undang, tapi kena bagi masa dan sokongan yang lebih,” ujar Hong. -MalayaDailyToday
Discussion about this post