PUTRAJAYA – Dasar-dasar kerajaan perlu sampai kepada rakyat, semua ketua jabatan dan pegawai atasan diingatkan kerap turun ke lapangan bagi memastikan ianya sampai kepada umum.
Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali, hakikatnya golongan ini sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menjayakan organisasi masing-masing tanpa kebergantungan terhadap orang bawahan semata-semata.
Saya pernah lihat situasi orang beratur panjang pukul 10 pagi tetapi kakitanga sudah pergi minum, sebab itu bagi saya, ketua-ketua yang ada ini walaupun tegas, mereka juga perlu kerap turun ke bawah, jangan harap hanya orang di bawah melaksanakan tugas.
“Sudah tentu sebagai KSN, saya tak sempat nak pergi ke semua tempat tetapi apa yang mustahak, kita beritahu apa visi yang kita mahu, apa yang mesti dilaksanakan, terjemahkan apa yang kita nak buat,” katanya pada sesi bual bicara bertajuk ‘Dinamika Pentadbiran KSN: Pengalaman Mengurus Krisis’.
Dalam pada itu, ketika berkongsi pengalamannya menangani krisis, Mohd. Zuki berkata, ketika mengambil alih tampuk pentadbiran awam pada Januari 2020, isu defisit kepercayaan antara kerajaan dengan penjawat awam agak kritikal.
“Kita sebagai penjawat awam kita berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini, malah kita orang paling cepat bertindak selepas tukar kerajaan kerana itu kesetiaan kita.
“Apabila kita bercakap mengenai berkhidmat untuk kerajaan sedia ada, tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Itu lah yang paling kritikal sebenarnya nak sampaikan ke bawah,” jelasnya. -MalayaDailyToday