KUALA LUMPUR – Di pentas utama ASEAN AI Malaysia Summit 2025, suasana penuh keterujaan menyelubungi dewan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekan butang pelancaran rasmi ILMU; model bahasa besar multimodal pertama negara yang dibangunkan sepenuhnya di tanah air.
Tepukan gemuruh dan kilauan kamera menyambut detik bersejarah ini.
ILMU, singkatan kepada Intelek Luhur Malaysia Untukmu, adalah hasil kerja keras YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya.
Ia bukan sekadar teknologi, tetapi simbol kemampuan Malaysia mencipta inovasi bertaraf dunia yang berakar dalam nilai budaya dan bahasa sendiri.
“Malaysia berbangga menjadi tuan rumah kepada pencapaian ini. ILMU membuktikan kita mampu membina infrastruktur AI kelas dunia sambil mengekalkan identiti linguistik dan budaya kita. Ini lebih daripada teknologi ia adalah langkah untuk memperkasa rakyat, perniagaan dan negara di era digital,” kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
AI dengan Jiwa Malaysia
Berbeza daripada model AI luar negara, ILMU dibina untuk memahami cara sebenar rakyat Malaysia berinteraksi dari Bahasa Melayu baku, Manglish hinggalah dialek seperti Kelate. Ia mampu memproses dan menjana teks, suara dan imej, membuka peluang luas dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, kesihatan, perbankan, hiburan, dan pentadbiran awam.
YTL AI Labs menegaskan ILMU dibangunkan dengan keselamatan data, kepentingan nasional dan tadbir urus yang kukuh, serta dihoskan sepenuhnya di YTL AI Cloud untuk memastikan prestasi tinggi dan pematuhan kepada undang-undang tempatan.
“ILMU mewakili komitmen YTL terhadap inovasi yang berakar pada warisan budaya dan intelektual Malaysia.
“Ia bukan hanya lompatan teknologi, tetapi keupayaan nasional yang mampu memacu produktiviti, membina sistem lebih pintar dan membawa kemajuan yang inklusif,” kata Dato’ Seri Yeoh Seok Hong, Pengarah Urusan YTL Power International Berhad.

Prestasi Setaraf Model AI Dunia
ILMU bukan sekadar ‘buatan tempatan’ sebaliknya berdiri sama tinggi dengan gergasi AI global. Dalam ujian penanda aras antarabangsa, ILMU menyamai prestasi model terkenal seperti GPT-4o dan Llama 3.1.
Lebih membanggakan, ia mencatat skor tertinggi di dunia dalam ujian kefahaman Bahasa Melayu (MalayMMLU), mengatasi semua model hadapan lain.
Foong Chee Mun, Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, menegaskan:
“Dalam Bahasa Melayu, ILMU adalah LLM terbaik di dunia. Ia sudah digunakan untuk menyelesaikan masalah sebenar di pelbagai industri, dan dengan API yang kini dibuka, kami mengalu-alukan pembangun, start-up dan syarikat untuk membina bersama kami.”
RM5 Juta Sokongan Inovasi Tempatan
Bagi mempercepat penggunaan dan inovasi, YTL AI Labs melancarkan ILMU AI Accelerator Programme dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Program ini menawarkan RM5 juta kredit API percuma, status Malaysia Digital beserta kemudahan pas kerja, visa dan sokongan pembangunan kepada start-up dan PKS yang membangunkan produk berasaskan ILMU.
Sejak pelancarannya, pelbagai nama besar telah menyatakan keyakinan terhadap ILMU, termasuk Aco Tech, Ryt Bank, Astro, Media Prima, Yes, Carsome, Swipey, Vision Machina, Vistel, TeeniAI, TrustAI dan Mesolitica.
Menjelang Hari Malaysia
Bagi pengguna awam, ILMUchat chatbot AI pertama daripada ILMU akan dibuka untuk akses awal bermula 16 September, bersempena Hari Malaysia. Pendaftaran awal boleh dibuat di laman rasmi www.ilmu.ai.
Pelancaran ILMU bukan sahaja menandakan kemajuan teknologi negara, tetapi juga permulaan era baharu di mana kecerdasan buatan tidak lagi sekadar diimport, sebaliknya dibangunkan oleh anak Malaysia untuk memenuhi keperluan dan aspirasi rakyatnya sendiri. -MalayaDailyToday