Kuala Lumpur – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Shuto Iko College of Medical Care & Welfare semasa lawatan lima hari mereka ke Jepun baru-baru ini.
Delegasi diketuai oleh YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia diiringi Yang Berbahagia Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, bersama dengan Datuk Wira Shahul Dawood, Ketua Eksekutif HRD Corp, serta wakil-wakilnya.
Kerjasama ini akan membuka jalan bagi HRD Corp untuk menawarkan kursus pensijilan profesional penjagaan warga emas Jepun kepada rakyat Malaysia. Ia juga akan membolehkan HRD Corp mendapatkan teknologi latihan dan pensijilan penjagaan warga emas dari Jepun. Melalui kerjasama ini, HRD Corp juga akan mengenal pasti dan melengkapkan jurulatih serta penyedia latihan Malaysia untuk membolehkan mereka menawarkan kurikulum dan program pensijilan Shuto Iko pada masa hadapan.
MoU tersebut ditandatangani oleh Datuk Wira Shahul Dawood dan Yohei Toyoda, Pengarah Jabatan Perancangan, Yayasan Pendidikan Jepun dengan disaksikan oleh YB Steven Sim Chee Keong dan YBhg Dato’ Sri Khairul Dzaimee bersama dengan Koto Kuma, Pengurus Jabatan Pelajar Antarabangsa Ibu Pejabat Korporat, serta Kyoko Tsugiyama, Pegawai Pertukaran Antarabangsa Bidang Perubatan dan Kebajikan Ibu Pejabat Korporat.
Steven Sim berkata, kerjasama antara HRD Corp dan Shuto Iko adalah inisiatif tepat pada masanya yang akan melengkapi usaha kerajaan untuk melabur serta mengawal selia ekonomi penjagaan, memandangkan potensinya untuk menyumbang antara 10 peratus dan 39 peratus daripada keluaran dalam negara kasar sesebuah negara.
“MoU ini akan mengiktiraf pekerjaan tersebut sebagai kerjaya formal yang memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi kita, saya berharap rakyat Malaysia akan meneroka peluang pekerjaan profesional dalam sektor ini,” katanya selepas upacara tersebut.
Menurut Datuk Wira Shahul Dawood, HRD Corp berbesar hati untuk terus memperluas tawaran kepada semua rakyat Malaysia melalui perkongsian dengan Shuko Ito.
“Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sektor penjagaan sedang berkembang di semua rantau dan dijangka mencipta lebih banyak pekerjaan pada tahun-tahun akan datang.
Dengan mengiktiraf ekonomi penjagaan, dan menawarkan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam latihan vokasional penjagaan warga emas, pekerja penjagaan Malaysia dapat menikmati gaji yang selayaknya sambil berpeluang meningkatkan kemahiran, menjadi profesional, seterusnya naik ke tangga kerjaya di masa hadapan,” ujarnya
Shuto Iko College of Medical Care & Welfare merupakan satu daripada sembilan fakulti di bawah Yayasan Pendidikan Jepun. Ia menumpukan pada pendekatan holistik kepada latihan penjagaan, melalui kursus pensijilan profesional yang disokong oleh teknologi penjagaan terkini. Institusi ini pakar dalam menyediakan kursus pensijilan profesional jangka pendek dan panjang yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun kepada semua lepasan sekolah menengah. Kolej ini juga mempunyai kadar pekerjaan hampir 100 peratus kerana program mentor holistiknya.
Selepas upacara menandatangani MoU tersebut, delegasi HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia turut melawat kemudahan Shuto Iko untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang program yang ditawarkan. MoU ini ditandatangani sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi HRD Corp ke Jepun, yang merangkumi pertemuan dan penglibatan dengan Biro Pembangunan Sumber Manusia Jepun (HRDB), Kolej Teknikal Tokyo (Kampus Automotif Nakano), Institut Teknologi Shibaura (SIT), dan Institut Teknologi Nasional, Kolej Tokyo (KOSEN). -MalayaDailyToday