KUALA LUMPUR – Bermula esok, semua kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti diwajibkan melaksanakan inisiatif Penandaan Harga Ubat, hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua kementerian memaklumkan bahawa langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh agenda ketelusan harga melalui pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).
“Inisiatif ini bertujuan memastikan rakyat dapat membuat pilihan secara bermaklumat dengan membandingkan harga ubat-ubatan sebelum membeli, sekaligus merancang perbelanjaan kesihatan dengan lebih bijak,” menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan inisiatif ini akan dijalankan mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Ia melibatkan semua premis penjagaan kesihatan swasta yang tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586], termasuk yang menjual, membekalkan atau memberikan ubat-ubatan kepada pesakit, serta semua farmasi komuniti.
Skop penandaan harga ini meliputi semua jenis ubat untuk kegunaan manusia, termasuk ubat yang memerlukan preskripsi, ubat tanpa preskripsi, ubat tradisional, suplemen kesihatan, dan sediaan ubat yang dibancuh.
Langkah ini diyakini dapat meningkatkan ketelusan, mengelakkan pencatutan, dan memberi lebih kuasa kepada pengguna untuk membuat pilihan terbaik demi kesihatan mereka. -MalayaDailyToday