KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad melahirkan rasa bangga dan teruja dengan pencapaian serta pengiktirafan antarabangsa dicapai oleh taman rekreasi 99 Wonderland Park di Selayang.
Nik Nazmi yang hadir bersama keluarga dan warga Kementerian itu kelihatan begitu teruja dengan taman rekreasi itu diasaskan oleh Datuk Seri BK Jeff Lee malam tadi.
Kata Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, 99 Wonderland Park sebenarnya mempunyai potensi besar bagi berterusan menarik warga tempatan dan pelancong untuk merasai sendiri bagaimana sebenarnya ‘wilflife in the park’ di tengah-tengah kota ini.
Bercakap dengan media, bagaimanapun kata Nik Nazmi, sebarang pembukaan taman hidupan liar di dalam negara khususnya di ibu kota perlu melalui tapisan ketat termasuk latar belakang syarikat pengendali.
Jelas beliau, kebanyakan binatang liar diimport dari luar negara itu akan diletakkan di dalam ‘zoo konkrit’ yang menyebabkan pergerakannya agak terbatas berbanding habitat sebenar.
“Ini bukan satu perniagaan yang boleh dilakukan dengan mudah dan biasa sebaliknya kita (Kementerian) akan siasat terlebih dahulu.
“Kita tak mahu ada tekanan pada binatang tersebut apabila berada dalam taman tema seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, Nik Nazmi turut menyerahkan anugerah The Malaysia Book of Records (MBOR) kepada 99 Wonderland Park yang mempamerkan tapir jakuzi pertama dalam negara, kucing tulap Afrika dan musang palma Afrika pertama dalam kawanan.
99 Wonderland Park turut menempatkan 100 spesis campuran haiwan eksotik, jinak dan liar antaranya buaya tembaga, beruang matahari dan kapibara atau babi air.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata pihaknya bersedia membantu mana-mana individu atau syarikat yang mahu membuka taman hidupan liar seumpamanya dengan memberi advokasi kebajikan serta tempat tinggal sesuai bagi hidupan liar yang ingin dibawa masuk.
“Sebarang pemindahan hidupan liar mempunyai syarat sangat ketat dan mereka perlu bincang dengan kita, serta Jabatan Perhilitan untuk lihat perkara ini betul-betul lestari dan mesra untuk binatang-binatang ini.
“Kita pastikan kurungan dan kebajikan lain haiwan itu dalam keadaan baik sebab ramai yang tengok muda nak buat tapi ia tidak semudah itu,” ujarnya.
Taman tema seluas 9.2 hektar milik Kumpulan JL99 itu menampilkan pelbagai tarikan, termasuk lebih 60 spesies haiwan liar yang diimport dari serata dunia.
Dibuka bermula jam 5 petang sehingga 11 malam untuk hari biasa dan 5 petang hingga 12 tengah malam pada hujung minggu, taman ini turut mencatat sejarah apabila diiiktiraf dalam MBOR, susulan kejayaan mengadakan pertunjukan air pancut muzikal terbesar.
Taman terbabit turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records atas kejayaan menganjurkan air pancut muzikal bersama animasi 3D. -MalayaDailyToday
Discussion about this post