KOTA KINABALU – Tindakan Datuk Ewon Benedick melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bukan sekadar keputusan peribadi.
Sebaliknya ini isyarat jelas tentang prinsip dan perjuangan hak Sabah yang beliau pegang sejak awal penyertaannya dalam Kabinet Persekutuan.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu mengumumkan perkara tersebut malam ini melalui laman rasmi Facebook beliau, memaklumkan akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memaklumkan peletakan jawatan berkuat kuasa dalam masa terdekat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas ruang kebersamaan dalam Kabinet Persekutuan yang telah menjadi wadah perjuangan saya untuk hak-hak Sabah,” katanya.
Langkah itu dilihat berpunca daripada kekecewaan Ewon terhadap pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung tafsiran hak 40 peratus hasil Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, yang baginya bercanggah dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Ewon, beliau tidak dapat meneruskan khidmat dalam Kabinet apabila pendirian AGC kekal tidak seiring dengan perjuangannya sebagai Presiden UPKO yang mahu hak Sabah dilaksanakan tanpa kompromi.
“AGC merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.
“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet dengan pendirian AGC yang menolak semangat MA63,” katanya.
Ewon berkata beliau telah beberapa kali menegaskan agar kerajaan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memihak kepada Sabah Law Society dalam isu semakan semula pemberian khas Sabah, sebaliknya membuka rundingan dengan kerajaan negeri.
Langkah Ewon turut memperkukuh persepsi bahawa suara Sabah dalam Kerajaan Perpaduan perlu diberi perhatian serius, terutama dalam isu pengagihan hasil dan pelaksanaan tuntutan MA63.
Beliau menegaskan keputusan itu bukan bersifat politik, tetapi tindakan berlandaskan prinsip.
“Saya menyertai politik kerana ingin melihat hak Sabah dilaksanakan, bukan sekadar dibincangkan,” katanya.
Ewon juga memberi bayangan akan kembali aktif memperjuangkan isu negeri di peringkat akar umbi selepas tempoh cuti bermula 11 hingga 29 November ini, sambil mengucapkan penghargaan kepada warga KUSKOP atas kerjasama sepanjang tiga tahun berkhidmat.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Sabah perlu menjalankan semakan semula terhadap pemberian khas bagi tempoh 1974 hingga 2022 satu keputusan yang disifatkan sebagai kemenangan moral bagi Sabah dalam menuntut hak perlembagaannya.
AGC kemudiannya memaklumkan masih meneliti alasan penghakiman sebelum membuat keputusan lanjut pendirian yang kini menjadi titik perbezaan antara Ewon dan kepimpinan Persekutuan.
Suara Dari Sabah Kembali Bergema
Tindakan Ewon dijangka memberi kesan politik yang besar di Sabah, terutama dalam kalangan parti-parti tempatan yang konsisten memperjuangkan pelaksanaan MA63.
Dalam konteks ini, pengunduran beliau bukan sekadar kehilangan seorang menteri, tetapi lonceng amaran tentang keperluan menghormati autonomi negeri dalam struktur Persekutuan. -MalayaDailyToday



























































