KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan wujudnya jemputan untuk parti Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.
Ini selepas laporan media yang memetik Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak mengesahkan mahupun menafikan khabar angin yang PAS akan menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Mungkin media telah salah erti apa yang Fahmi hendak katakan. Untuk pengetahun, tidak ada apa-apa perbincangan soal Pas hendak sertai Kerajaan Perpaduan.
“Betul Fahmi kata ada banyak perbincangan tetapi itu adalah antara kerajaan pusat dan negeri, lebih bersifat ‘G2G’. Saya sendiri ada jumpa dengan pemimpin Pas tapi itu tidaklah bermakna kita jemput mereka masuk Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Khabar angin penyertaan PAS itu timbul pada Oktober tahun lepas namun dinafikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Kelmarin ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada sebab wujudnya perbincangan antara parti itu dengan Kerajaan Perpaduan kerana tetap pendirian tidak akan mendukung kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau pada masa sama turut membidas tindakan pimpinan UMNO yang telahpun bertindak membelakangkan pendirian parti semata-mata mahu bersama Anwar.
“Tiada sebab kita nak dukung macam UMNO, waktu kempen pada rakyat ‘No DAP! No Anwar! wallahi, wabillahi, bersumpah.
“Selepas pilihan raya apa yang berlaku? Dia jilat, langgar balik sumpah dia, waktu kempen PH serang UMNO..hoi hoi yahoi, macam-macam serangan dibuat, rakyat percaya UMNO takkan sokong Anwar dan DAP, rakan-rakan UMNO bagi undi pada UMNO, tiba-tiba selepas pilihan raya dia langgar keputusan parti dia,”jelasnya. -MalayaDailyToday
Discussion about this post