KUALA LUMPUR – Jenazah mangsa pembunuhan kejam, Nur Farah Kartini Abdullah dijangka dikebumikan di Pekan, Pahang selepas dituntut ahli keluarganya hari ini.
Perkara ini dimaklumkan abang mangsa, Mohd Fariza Amir Abdullah kepada media hari ini.
Sementara itu, pagi ini suasana sekitar pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh di sini masih lengang tanpa kehadiran ahli keluarga dan rakan-rakan.
Beberapa pengamal media kelihatan berkumpul di sekitar lokasi bagi mendapatkan perkembangan berkaitan sejak 7 pagi ini.
Mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang, pada Isnin.
Susulan siasatan, lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak telah ditahan dan direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -MalayaDailyToday
Discussion about this post