JOHOR BHARU – Penulis kanak-kanak muda penuh inspirasi, Krishh Haran Nair yang baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-10 baru-baru ini kini begitu teruja menyiapkan buku ketiganya.
Ketika MalayaDailyToday yang sempat bercakap dengan bakat luar biasa kanak-kanak ini, kata Krishh, kemungkinan besar buku ketiga yang namanya masih dirahsiakan itu akan siap sekitar Disember tahun ini.
“Saya sedang siapkan buku itu, ramai juga yang tanya tentang buku. Itu juga motivasi buat saya sebenarnya. Saya sangat teruja bila anda tanya tentang buku saya. Rasa sangat penting, jadi saya akan siapkan secepat mungkin.
“Saya memerlukan kreativiti untuk hasilkan yang terbaik, untuk itu saya akan kerja keras dan hasilkan yang paling ‘best’,” katanya dalam satu upacara keagamaan di Bahau baru-baru ini.
Untuk makluman, sebelum ini banyak media tampil melaporkan Krishh Haran bukan sahaja berjaya menghasilkan dua buah buku iaitu Mysterious War in the Deep dan Pillar And The Golden Sword malah menderma setiap sen jualan bukunya kepada golongan memerlukan.
Malah kanak-kanak ini yang merupakan pelajar Sunway International Iskandar Johor sebenarnya mempunyai kebolehan imaginasi hebatnya menarik perhatian ramai.
Krishh berkata minat menulis dan membaca terutama surat khabar sudah bermula sejak awal lagi dan ianya berkembang ketika Perintah Kawalan Pergerakan apabila gurunya telah memberi tugasan menulis cerpen dan dia meminta kedua ibu bapanya untuk menerbitkan hasil penulisannya sebagai buku.
Krishh sebelum ini telah menyiapkan buku pertamanya dan berjaya mengumpulkan RM7,000 daripada hasil jualan dan telah menyumbangkan dana itu kepada Yayasan Sinar Ilmu Jaya (YSIJ).
Krishh juga berjaya memahat nama dalam Malaysia Book of Records sebagai kanak-kanak pertama mencatatkan jualan tertinggi yang menyumbang melalui jualan amal.
Dalam projek kedua, Krishh menyiapkan buku dalam bentuk e-book dalam masa lima bulan dan mengumpulkan RM21,000.
Hasil jualan itu kemudiannya digunakan untuk membekalkan 500 kotak keperluan harian kepada golongan yang memerlukannya melalui YSIJ.
Kanak-kanak yang bercita-cita untuk menjadi pegawai tentera dan amat meminati permainan catur, bola sepak, berenang serta bermain dram sebagai hobi.
Dalam pada itu, ibu bapa Krishh, Ramakrishnan dan Jayathimarlin megakui sejak kecil lagi Krishh telah dipupuk meminati aktiviti membaca dan juga menulis.
Malah pasangan ini mengakui, keselesaan yang diberikan kepada Krishh tidak pernah menjadi ukuran untuk dirinya bersenang sebaliknya sentiasa tampil ‘empati’ dengan kesusahan insan lain. -MalayaDailyToday
Discussion about this post