PHNOM PENH – Berita baik bagi yang teruja untuk melancong ke destinasi pelancongan popular seperti Siem Reap dan Sihanoukville apabila AirAsia Cambodia akan memulakan operasi penerbangan domestik yang menghubungkan ibu negaranya Phnom Penh.
Penerbangan tersebut akan memulakan operasinya pada 2 Mei menggunakan dua pesawat jenis A320 yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kumpulan Penerbangan AirAsia Bo Lingam, penerbangan tersebut bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada Kemboja tetapi juga negara Asean lain termasuk Malaysia yang dihubungkan melalui Air Asia.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancarannya di sini yang turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap Negara Chea Oun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Cambodia Vissoth Nam.
Bo Lingam berkata, pelancaran penerbangan tersebut bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada Kemboja tetapi juga negara Asean lain termasuk Malaysia yang dihubungkan melalui Air Asia.
“Ada dua hala di sini. Bukan sahaja rakyat Malaysia datang ke sini tetapi kita mahu rakyat Kemboja datang ke Malaysia dan rantau Asia Tengara dari Indonesia, Thailand, Filipina dan China, Jepun.
“Sebab mereka tidak datang dari satu negara. Mereka mungkin lawat Malaysia, Thailand kita beri mereka peluang dan jaringan untuk bergerak secara pakej maka mereka boleh merentasi beberapa negara dalam tempoh satu minggu
“Kita hendak mereka melancong dan merentasi antara negara. Asian ada 700 juta populasi dan mempunyai destinasi yang cantik untuk dilawati,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Vissoth, pelancaran laluan domestik hari ini sejajar dengan pertumbuhan penting yang disaksikan dalam sektor pelancongan dan perjalanan udara di Kemboja.
“AirAsia Cambodia akan memainkan peranan penting dalam membentuk semula landskap penerbangan Kemboja.
“Kita akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan dengan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyokong aspirasi kerajaan Kemboja dalam memacu sektor ekonomi dan pelancongan,” ujarnya.
Penerbangan ke tiga destinasi tersebut kini boleh didapati untuk tempahan dengan 6,000 tempat duduk percuma bagi tempoh perjalanan antara 2 Mei ini dan 29 Mac 2025 di laman sesawang airasia dan AirAsia MOVE.
Rangkaian antarabangsa AirAsia yang luas juga menghubungkan Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville ke lebih 130 destinasi di seluruh Asia seperti India, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Australia dan banyak lagi melalui hab utamanya di Kuala Lumpur dan Bangkok, Thailand. -MalayaDailyToday