KOTA KINABALU – Kerajaan negeri Sabah tetap berpendirian meneruskan tuntutan 40 peratus hasil negeri daripada Kerajaan Persekutuan meskipun menerima pemberian khas RM125.6 juta pada tahun ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata perkara itu sudah dijelaskan berulang kali oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di Sabah itu terus disuarakan menerusi rundingan tuntutan hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, Ketua Menteri tidak akan mengelirukan rakyat negeri ini mengenai tuntutan 40 peratus itu yang didakwa pemimpin pembangkang sudah diganti dengan pemberian khas kepada Sabah.
Ketua Menteri sudah menjelaskan bahawa kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memperjuangkan hak Sabah seperti termaktub dalam MA63 yang merangkumi tuntutan 40 peratus.
“Ketua Menteri sudah beberapa kali mengulangi pendirian GRS untuk meneruskan tuntutan 40 peratus di Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun menerima bayaran pemberian khas RM125.6 juta daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan. -MalayaDailyToday