Kuala Lumpur – UMNO menafikan dakwaan parti BERSATU kononnya Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan, susulan keputusan tidak isytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen yang menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hakikatnya tidak ada istilah takut menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) andainya ada pilihan raya di enam kerusi berkenaan.
“Bukan takut kalah, kita rasa keenam-enam kerusi ini dulu adalah kerusi UMNO dan kalau (diumumkan) kosong pun UMNO akan bertanding.
“Dalam politik, mana boleh takut, saya melihat pengumuman oleh Tan Sri Johari Abdul selaku Speaker Dewan Rakyat, terhadap kedudukan enam Ahli Parlimen yang telah terpecat daripada BERSATU kerana menyokong Perdana Menteri itu adalah keputusan yang dibuat mengikut Perkara 49, Perlembagaan Malaysia.
“Mungkin ada dalam kalangan mereka yang akan dicabar, mungkin mengemukakan bukti. Itu kita serahkan kepada mana-mana pihak untuk membawa ke mahkamah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus hari ini.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mendakwa enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang oleh bekas ahli parti itu tidak diisytiharkan kosong kerana Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan dalam PRK.
Muhyiddin berkata, disebabkan itu Kerajaan Perpaduan didakwa sanggup melanggar Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Anti Lompat Parti, yang diperjuangkan mereka sendiri. -MalayaDailyToday
Discussion about this post