JOHOR BHARU – Yuran taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) di seluruh Malaysia dijangka akan meningkat antara 20 hingga 25 peratus mulai tahun depan.
Kenaikan ini berpunca daripada pengumuman kerajaan mengenai peningkatan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa pada 1 Februari.
Menurut Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) dan Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, yang mewakili pengusaha tadika, selain Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia yang menaungi pengusaha taska mengesahkan bahawa hampir 4,500 ahli mereka akan terpaksa menaikkan yuran perkhidmatan.
Penasihat Kehormat PERTIM, Zaharah Awang berkata kira-kira 1,000 ahlinya di seluruh negara bersiap sedia untuk menaikkan yuran perkhidmatan tadika susulan kenaikan kos operasi yang membabitkan gaji pekerja terutama guru.
Kenaikan ini bukan hanya melibatkan gaji pekerja, tetapi juga peningkatan kos bahan mentah, sewa, dan bil utiliti.
Bagaimanapun, kenaikan perlu mendapat kebenaran dan menerusi permohonan dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sebelum dilaksanakan.
“Sebenarnya PERTIM sudah membuat unjuran awal kenaikan gaji minimum sehingga RM2,000 sebulan secara berperingkat untuk beberapa tahun akan datang, namun ahli kami tidak jangka penguatkuasaan gaji minimum baharu RM1,700 akan berlaku seawal tahun depan.
“Notis yuran tahun hadapan sebenarnya sudah diberikan kepada ibu bapa, namun dengan pengumuman pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan mulai Februari depan, ahli PERTIM terpaksa mengeluarkan notis baharu yuran membabitkan kenaikan antara hingga 25 peratus, mengikut lokasi kawasan tadika.
“Seramai 1,000 ahli kami yang juga pengusaha tadika di seluruh negara sebenarnya tersepit kerana tidak mahu menaikkan yuran, namun terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan operasi tadika. Kita jangka, pengusaha yang tidak mendapat sokongan ibu bapa berdepan kemungkinan menutup operasi mereka, kerana kos operasi terlalu tinggi untuk ditanggung.
“Apatah lagi, kos operasi tadika swasta 100 peratus adalah daripada bayaran yuran yang dibayar ibu bapa. Kenaikan kos operasi tadika sudah berlaku sejak selepas tamat Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) lagi namun menjadi lebih ketara sejak tahun lalu susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Zaharah menambah bahawa kenaikan yuran ini juga disebabkan oleh lonjakan harga bahan mentah yang lebih 60 peratus sejak tahun lalu, memberikan tekanan tambahan kepada tadika yang bergantung sepenuhnya kepada bayaran yuran dari ibu bapa.
Dia juga menjelaskan bahawa kenaikan harga yuran tadika antara 10 hingga 25 peratus sebenarnya hanyalah untuk pengusaha bertahan demi kelangsungan perjalanan perniagaan mereka semata-mata.
“Sebelum ini pernah berlaku seramai 41 murid sebuah tadika ahli kami diberhentikan ibu bapa hanya kerana kenaikan yuran tidak sampai RM40 sebulan.
“Sebenarnya yuran tadika swasta murid Melayu atau Islam hanya antara RM300 hingga RM350 sebulan berbanding tadika swasta Cina yang mengenakan yuran antara RM750 hingga RM900 sebulan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, Hazman Sapawi, juga mengesahkan bahawa sekitar 500 tadika di negeri itu juga akan menaikkan yuran mereka. -MalayaDailyToday
Discussion about this post