PULAU PINANG – Tourism Malaysia menyambut ketibaan penerbangan berjadual sulung TransNusa dari Jakarta ke Pulau Pinang, satu langkah penting dalam memperkukuh rangkaian udara dan merancakkan kedatangan pelancong ke Malaysia.
Perkhidmatan baharu Jakarta–Penang itu beroperasi setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, sementara penerbangan harian akan bermula pada Disember 2025.
Pesawat Airbus A320 berkapasiti 174 tempat duduk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno–Hatta pada jam 0500 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sekitar jam 0830.
Penerbangan pulang PEN–CGK berlepas pada jam 0930 dengan tempoh perjalanan kira-kira 1 jam 25 minit.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung berkata kehadiran TransNusa ke Pulau Pinang merupakan pencapaian penting dalam menambah pilihan sambungan udara bagi pelancong masuk, sekaligus menyokong sektor pelancongan riadah, perubatan, perniagaan dan MICE.
“Laluan ini membuka ruang baharu kepada pengunjung dan lebih mendekatkan warisan kaya Pulau Pinang dengan Jakarta, ibu kota Indonesia yang penuh dinamika. Dengan Visit Malaysia 2026 (VM2026) bakal bermula dalam beberapa minggu lagi, laluan ini dijangka memainkan peranan besar dalam melancarkan perjalanan dan memperkukuh aliran pelawat antara Indonesia dan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Dato’ Bernard Francis, berkata laluan Jakarta–Penang merupakan laluan strategik yang selari dengan aspirasi syarikat untuk berkembang ke hab sambungan utama sambil memberi perkhidmatan terbaik kepada penumpang.
“Laluan ini turut direalisasikan hasil program insentif jangka panjang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) yang tersusun dengan baik, satu kelebihan yang membezakan PIA daripada banyak lapangan terbang sekunder lain. Sokongan dan komitmen daripada Tourism Malaysia dan PIA membolehkan laluan Jakarta–Penang direalisasikan dalam tempoh kurang enam bulan,” katanya.
Pada 2024, Indonesia merekodkan lebih 4.15 juta pelawat ke Malaysia, peningkatan 19 peratus berbanding 2023. Dari Januari hingga Ogos 2025 sahaja, seramai 2.92 juta warga Indonesia melawat Malaysia, terus mencerminkan daya tarikan kukuh negara kepada pelancong dari republik itu. Kerjasama baharu ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta meningkatkan pelancongan masuk, selain membuka peluang pertukaran budaya dan pertumbuhan ekonomi.
Bersempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026), TransNusa turut memperkukuh kerjasama dengan Tourism Malaysia bagi meningkatkan aliran pelancong dua hala. Inisiatif ini merangkumi sokongan kepada lebih 30 ejen pelancongan dari Jakarta untuk menghadiri persidangan Visit Malaysia 2026, sekali gus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan budaya, riadah dan perubatan. Laluan ini turut mendapat sokongan Penang Global Tourism (PGT) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), menandakan kerjasama pelbagai pihak dalam memantapkan landskap pelancongan Pulau Pinang.
Laluan Jakarta–Penang ini menjadi satu lagi mercu tanda dalam usaha memperkukuh hubungan dua negara serta meningkatkan kesalinghubungan serantau. Tourism Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan industri ke arah memastikan manfaat berterusan kepada sektor pelancongan negara menjelang VM2026. -MalayaDailyToday


























































