Kuala Lumpur – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tampil memuji pasukan pengurusan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang berjaya mencatatkan kedudukan kewangan yang stabil dengan keuntungan RM389.95 juta setakat 31 Disember 2022.
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman juga senada dengan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang mengakui kedudukan kewangan HRD Corp sangat stabil ketika ini.
Malah kata Dr Syed, aspek kewangan HRD Corp yang stabil akan membantu memperkasakan semua program latihan modal insan yang diperlukan oleh syarikat yang menjalankan operasi perniagaan di negara ini.
“Tahniah kepada pasukan pengurusan HRD Corp untuk kejayaan ini dan kami di pihak majikan akan sentiasa bekerjasama untuk membangunkan ekonomi negara ini terutama aspek memperkasakan modal insan yang menjadi antara teras utama perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Untuk makluman, HRD Corp mencatatkan keuntungan terkumpul sebanyak RM389.95 juta setakat 31 Disember 2022.
Selain itu, HRD Corp mencatat keuntungan bersih pelaburan tidak nyata sebanyak RM69 juta sehingga akhir Disember 2023.
Jumlah tersebut melibatkan kira-kira 98.7 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan HRD Corp yang bernilai RM3.6 bilion.
Beliau juga memuji walaupun siasatan sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan penemuan PAC, pujian harus diberikan kepada HRD Corp untuk mencatatkan kedudukan kewangan yang stabil.
“Bagi pihak majikan, ini tentunya suatu berita gembira kerana kami boleh mengharapkan pengurusan HRD Corp untuk menjalankan latihan bagi menambah baik aspek kemahiran dan kepakaran para pekerja kami,” ujarnya. -MalayaDailyToday
Discussion about this post