KUALA LUMPUR – Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kenyataannya, Shamsul berkata keputusan itu dibuat bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif terhadap pentadbiran kerajaan, susulan dakwaan dan serangan politik yang disifatkannya sebagai cubaan untuk menjejaskan reputasi serta imej beliau.
“Saya mengambil keputusan ini dengan penuh tanggungjawab selepas melihat usaha pihak tertentu yang cuba memfitnah dan menimbulkan keraguan terhadap integriti saya.
“Saya tidak mahu perkara ini memberi kesan kepada kepimpinan Perdana Menteri atau pentadbiran kerajaan,” katanya.

Shamsul turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas kepercayaan yang diberikan sejak beliau memulakan tugas pada Disember 2022.
Menurutnya, sepanjang memegang jawatan itu, fokus beliau adalah membantu Perdana Menteri melaksanakan agenda reformasi, memperkukuh hubungan kerajaan dengan rakyat serta memastikan dasar-dasar utama disampaikan dengan berkesan.
Peletakan jawatan ini berlaku ketika beliau berdepan kritikan berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan surat sokongan projek hospital pada 2024.
Shamsul menegaskan bahawa isu tersebut sengaja dibangkitkan semula bagi tujuan menyerang karekter dan menimbulkan salah faham, walaupun penjelasan telah dibuat sebelum ini.
Beliau menambah bahawa langkah berundur adalah pilihan terbaik bagi membolehkan proses pentadbiran berjalan tanpa gangguan serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan jika perlu.
“Saya percaya ini masa paling wajar untuk saya berundur dan memberi tumpuan kepada hal lain. Apa jua siasatan, saya sedia memberi kerjasama penuh,” katanya.
Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri belum mengumumkan pengganti bagi jawatan tersebut.
Terdahulu, peletakan jawatan Shamsul menarik perhatian banyak pihak memandangkan beliau sebelum ini merupakan antara tokoh penting dalam komunikasi politik kerajaan dan sering menjadi jambatan antara pejabat Perdana Menteri dan pelbagai pemegang taruh. -MalayaDailyToday


























































