KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah akan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan geran khas negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Mahkamah sebelum ini membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan arahan Mahkamah Tinggi yang mewajibkan semakan hak Sabah serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari berhubung pembayaran 40 peratus hasil bersih Persekutuan. 
Hajiji berkata, perintah penangguhan itu bersifat prosedural dan hanya mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan rayuan, serta tidak mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
“Walaupun prosiding mahkamah sedang berjalan, rundingan perlu diteruskan dengan niat baik bagi mencapai persetujuan dengan kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sebelum ini membantah penangguhan tersebut, namun tetap menghormati keputusan mahkamah.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2025 yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan, selain Perdana Menteri telah memberi komitmen untuk menghormatinya. 
Pendengaran rayuan dijangka berlangsung antara 27 hingga 30 Oktober ini, manakala satu e-semakan ditetapkan pada 13 April bagi mengesahkan tarikh tersebut. -MalayaDailyToday




























































