KUALA LUMPUR – Kira-kira 3.45 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memilih untuk memiliki amaun permulaan di Akaun Fleksibel, setakat 10 Jun lalu.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata ia membabitkan jumlah perpindahan RM10.86 bilion daripada Akaun Sejahtera yang sebelum ini dikenali Akaun 2.
Daripada itu, katanya seramai 2.93 juta ahli KWSP sudah membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel membabitkan jumlah pengeluaran bernilai RM6.98 bilion.
Beliau menjawab soalan mengenai pemindahan caruman ke Akaun Fleksibel serta strategi pelaburan jangka panjang dibangkitkan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan).
Dalam pada itu, kata Amir Hamzah, bagi memastikan KWSP boleh mencapai objektif pelaburan itu, pelaburan dibuat berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA).
Beliau berkata, strategi itu memperuntukkan aset secara optimal dengan mengambil kira had toleransi risiko KWSP sebagai dana simpanan persaraan.
Berdasarkan SAA ketika ini, KWSP memperuntukkan baki tunai pelaburan pada julat dua hingga enam peratus. -MalayaDailyToday
Discussion about this post