KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengarahkan keutamaan diberikan kepada projek keperluan mendesak, khususnya melibatkan sektor pendidikan dan kesihatan, bagi memastikan manfaat dapat dinikmati rakyat dalam tempoh segera.
Beliau berkata, projek bersifat “low-hanging fruit” yang mudah dilaksanakan perlu dipercepatkan tanpa sebarang kelewatan, selari dengan penekanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Projek-projek kecil ini mesti dilaksanakan secara cekap, pantas dan berintegriti supaya rakyat dapat merasai impaknya dengan segera.
“Tidak wajar projek dalam kategori ini mengalami kelewatan, apatah lagi menjadi projek sakit hanya disebabkan isu tempatan seperti tanah dan utiliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), melibatkan 1,233 projek dan program pembangunan.
Katanya, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan Sabah terus membangun seiring aspirasi Kerajaan Madani dan pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan pemantauan lebih kerap terhadap pelaksanaan projek bagi mengelakkan kelewatan yang boleh meningkatkan kos serta menjejaskan kepentingan kerajaan.
“Sebarang isu pelaksanaan perlu segera dirujuk kepada agensi berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri, termasuk melibatkan masalah peruntukan, tanah atau utiliti,” katanya.
Hajiji turut memaklumkan Program Menoktahkan Miskin Tegar Sabah 2026 akan terus dipergiat sebagai kesinambungan agenda SMJ, dengan fokus memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan.
Menurutnya, kerajaan negeri turut memperuntukkan belanjawan tertinggi berjumlah RM12.02 bilion bagi tahun 2026, dengan penekanan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.
“Pelaksanaan projek infrastruktur ini penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di seluruh daerah serta meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Selain itu, pelbagai inisiatif termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) dilaksanakan bagi membantu golongan rentan.
Mengulas hala tuju SMJ 2.0 (2026–2030), beliau berkata fokus kekal kepada tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, di samping memperkukuh pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan negeri memandang serius kelewatan projek kerana ia bukan sahaja menjejaskan pelaksanaan, malah meningkatkan kos dan merugikan kerajaan,” katanya. -MalayaDailyToday





























































