KUALA LUMPUR – Nampaknya perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram amat perlahan malah ianya seperti tiada pilihan raya berlangsung di sini meskipun tempoh berkempen ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah memasuki hari keempat.
Utusan Malaysia melaporkan keadaan lebih suram jika dibandingkan dengan beberapa siri pilihan raya ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Laporan berkata penampakan bendera-bendera parti bertanding serta poster calon Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak ubah seperti ‘bagai mencari jarum dalam jerami’, jika ada sekalipun hanya di markas parti dan bilik gerakan.
Suasana malam juga tidak meriah seperti lazimnya yang mana hanya Pas dilihat sedikit agresif mengadakan ceramah.
Senario itu menimbulkan persoalan adakah status Simpang Jeram sebagai kerusi DUN yang tidak memberi kesan langsung kepada jumlah kerusi di Dewan Rakyat membuatkan parti bertanding tidak memberikan tumpuan sewajarnya?
Atau kedua-dua pihak terlalu yakin dengan kekuatan pengundi asas masing-masing memandangkan Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) menyatakan bahawa mereka mempunyai struktur akar umbi yang kuat di Simpang Jeram?
Apakah yang akan berlaku pada 9 September ini? Jika dilihat pada PRN lepas, peratusan pengundi keluar mengundi sangat rendah, adakah ianya akan berulang? -MalayaDailyToday
Discussion about this post