Pemuda MCA tidak perlu menunggu cabaran daripada Pemuda DAP (DAPSY) untuk mengambil tindakan terhadap isu MyKiosk KPKT. Malah, kami telah terlebih dahulu mengambil langkah proaktif dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dan menggesa Jabatan Audit Negara menjalankan siasatan terperinci.
Kenyataan Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Lim Chun Weng, yang mendakwa MCA menggunakan “taktik sabotaj politik demi kelangsungan parti”, jelas mencerminkan keresahan DAP terhadap isu ini — mungkin atas sebab yang hanya mereka sendiri fahami.
DAP tak payah nak melenting. Dalam apa-apa isu yang berkepentingan rakyat, rakyat berhak untuk bertanya, dan menteri yang bertanggungjawab harus tampil memberi penjelasan, bukan bersembunyi di sebalik tuduhan politik.
Persoalannya, mengapa DAP tidak membenarkan siasatan dan audit berjalan dengan lancar demi membersihkan nama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Menteri DAP, Nga Kor Ming? Mengapa tidak tampil memberi penjelasan tuntas kepada rakyat?
Tuduhan bahawa MCA kononnya ingin menggagalkan kejayaan Kerajaan Perpaduan adalah tidak berasas dan bersifat kebudak-budakan. MCA adalah parti matang yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan politik sempit.
Berbeza dengan DAP yang sewaktu menjadi pembangkang hanya tahu menghasut dan mencetuskan sentimen politik murahan, MCA memilih untuk bekerja dan menyelesaikan isu rakyat.
Dalam hal MyKiosk, realitinya jelas — banyak unit masih kosong dan harga RM25,000 seunit terlalu tinggi berbanding harga pasaran sekitar RM12,000. Ini menimbulkan persoalan besar tentang ketelusan dan kecekapan pelaksanaan inisiatif ini.
Kami di Pemuda MCA tidak akan melayan drama politik DAPSY. Kami lebih fokus bekerja untuk rakyat dan negara. Biarlah SPRM dan Jabatan Audit melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa gangguan atau tekanan politik.
Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA