KUALA LUMPUR – Pemuda MCA hari ini mempersoalkan pelantikan Ramssol Group Berhad melalui anak syarikatnya, Rider Gate Sdn. Bhd., sebagai ejen kutipan (Collection Agent) bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama dua tahun, sambil menuntut Kementerian Pengangkutan (MOT) memberikan penjelasan penuh mengenai proses tersebut.
Timbalan Ketuanya, Mike Chong berkata pelantikan itu melibatkan perkhidmatan teras kerajaan serta akses kepada data sensitif rakyat, justeru ia tidak boleh dibuat tanpa penerangan yang telus kepada umum. Beliau bertanya sama ada pelantikan tersebut dibuat melalui tender terbuka dan apakah asas pemilihan Ramssol berbanding syarikat lain.
“Perkhidmatan awam tidak boleh menjadi pelantikan dalaman atau urus janji tertutup tanpa pengetahuan rakyat. Jika tender terbuka tidak dijalankan, mengapa proses biasa diketepikan? Dan apakah kelayakan Ramssol sehingga diberikan kepercayaan ini?” katanya dalam kenyataan.
Chong turut mempersoalkan keperluan melantik syarikat swasta sedangkan JPJ sudah mempunyai sistem digital lengkap termasuk MyJPJ, portal rasmi, kiosk, bank dan perkhidmatan Pos Malaysia. Beliau berkata MOT perlu menjelaskan sama ada sistem sedia ada tidak mencukupi atau terdapat kelemahan teknikal yang memerlukan pihak ketiga.
“Jika kerajaan sendiri tidak yakin dengan sistemnya, MOT wajib menjelaskan punca sebenar,” ujarnya.
Beliau juga membangkitkan kemungkinan wujud caj tambahan kepada pengguna susulan laporan bahawa keuntungan kontrak bergantung kepada jumlah transaksi yang diproses syarikat.
“Rakyat berhak tahu sama ada caj tambahan akan dikenakan dan siapa yang akan menanggungnya. Jika rakyat perlu bayar lebih untuk urusan yang sebelum ini dibuat dalam sistem kerajaan, ia tidak adil,” katanya.
Chong berkata pelantikan pihak ketiga yang berfungsi sebagai “orang tengah” menimbulkan persoalan tentang manfaat kepada rakyat dan potensi kepentingan tertentu.
Katanya, MOT dan JPJ mesti segera menjelaskan proses pelantikan, kriteria penilaian, struktur caj serta justifikasi menyerahkan fungsi teras kerajaan kepada pihak swasta, selain memberi jaminan keselamatan data rakyat.
“Pelantikan yang melibatkan transaksi jutaan ringgit dan jutaan pengguna mesti dibuat secara telus. Rakyat berhak tahu siapa membuat keputusan, apa justifikasinya dan siapa mendapat manfaat,” katanya. -MalayaDailyToday

























































