KUALA LUMPUR – Industri pelancongan negara tidak boleh bergerak dalam keadaan kabur arah atau dibebani secara tidak seimbang, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata sesi libat urus bersama penggiat industri penting bagi membolehkan kementerian mendengar sendiri realiti yang dihadapi pemain industri di lapangan.
“Pelancongan bukan sekadar angka ketibaan atau kempen bermusim. Ia adalah satu ekosistem yang mempengaruhi kehidupan ramai daripada pemandu pelancong, pengusaha kecil, komuniti luar bandar hinggalah peniaga B40,” katanya.
Menurut beliau, antara isu yang dibangkitkan secara terbuka termasuk keperluan mempercepat pindaan akta dan memastikan penguatkuasaan lebih adil terhadap aktiviti tidak berlesen seperti penginapan jangka pendek dan pengendali haram yang menjejaskan pemain sah serta hasil negara.
Industri juga, katanya, mahukan dasar lebih jelas, pasaran yang lebih seimbang dan tidak terlalu bergantung kepada satu atau dua negara sahaja, selain promosi produk baharu yang lebih agresif.
Tiong berkata isu pengangkutan pelancongan, kenderaan persiaran, pemandu serta pemandu pelancong turut dibangkitkan termasuk kesan penguatkuasaan yang tidak selaras dan persaingan tidak sihat daripada platform digital.
Sektor khusus seperti selam skuba, eko-pelancongan, pelancongan memerhati burung, homestay dan komuniti budaya turut menekankan keperluan lesen, latihan, promosi serta sistem sokongan yang lebih praktikal.
Beliau berkata kementerian mengambil serius semua pandangan dan banyak perkara sedang ditangani secara berperingkat melalui pindaan akta, penambahbaikan dasar serta pengukuhan penguatkuasaan yang lebih seimbang.
“Saya tegaskan penguatkuasaan mesti memberi tumpuan kepada aktiviti tidak berlesen dan amalan yang menjejaskan industri, bukan menghukum pemain sah yang telah mematuhi undang-undang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata perbincangan lanjut akan diteruskan melibatkan isu pengangkutan pelancongan, penginapan jangka pendek, pelesenan dan beban kos ke atas pengusaha berlesen sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Menurut Tiong, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta antara kementerian amat penting supaya usaha promosi dan pembangunan produk tidak bercanggah dengan agenda nasional.
“Hanya dengan kepercayaan, ketelusan dan kerjasama berterusan antara kerajaan dan industri, kita mampu membina pelancongan yang adil, berdaya tahan dan memberi manfaat jangka panjang kepada negara,” katanya. -MalayaDailyToday

































































