KUALA LUMPUR – Rekod tercipta dengan catatan luar biasa apabila Penganjuran Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2024 merekodkan pencapaian luar biasa dengan penyertaan 4,000 perwakilan dan 30 penceramah terkenal dari seluruh dunia.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof melahirkan rasa teruja apabila memaklumkan program itu turut melibatkan kira-kira 300 pempamer dengan jumlah pengunjung yang mengagumkan iaitu 16,500 orang sepanjang tiga hari berlangsung.
Kata beliau, kejayaan itu membuktikan ia kekal sebagai platform utama untuk menyokong strategi pembangunan modal insan yang segar dan inovatif setiap tahun.
“Saya ucapkan ribuan penghargaan dan tahniah Human Resource Development Corporation (HRD Corp) kerana menjadikan NHCCE 2024 sebagai tempat berkumpul untuk berbincang, berdebat dan menentukan tindakan terbaik dalam pembangunan modal insan pada masa hadapan.
“Ia membuktikan program ini sebagai platform dalam memastikan perkembangan kepimpinan dalam pembangunan modal insan bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh Asia Tenggara.
“Wawasan dan perkaitan yang terjalin di sini sudah pasti akan menjadi pemangkin untuk pertumbuhan masa depan, memacu Malaysia ke hadapan ketika kita bersedia untuk menyandang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025,” ucapnya pada majlis perasmian penutup NHCCE 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
NHCCE 2024 menampilkan lebih 30 tokoh terkemuka bidang modal insan, pengamal sumber manusia dan pakar dalam bidang masing-masing.
Antaranya ialah wartawan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zeteo, Mehdi Hasan; jurulatih eksekutif terkenal dunia dan pengarang popular, John Mattone; Pengerusi ROI Institute, Inc, Dr Jack J Phillips, penceramah utama antarabangsa, Dr Justin Cohen dan Pakar Strategi Inovasi dan pengarang popular, Shawn Kanungo.
Bertemakan ‘Menginsankan AI untuk tenaga kerja masa depan’ NHCCE 2024 bukan sahaja sesuai pada hari ini, tetapi untuk beberapa dekad yang akan datang. -MalayaDailyToday