KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) mencipta sejarah apabila berjaya mengutip paling tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini iaitu RM2.3 bilion.
Mengikut rekod, tahun sebelumnya, HRD Corp telah mengutip RM2.1 bilion.
Perkara itu yang diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim berkata, ini merupakan kejayaan hasil reformasi pengurusan dilaksanakan tanpa kompromi di semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) termasuk HRD Corp.
Antaranya, kata Sim, Dasar KESUMA Reengineering yang membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada pemegang taruh, khususnya dalam pemprosesan tuntutan levi.
“Ini yang paling tinggi dalam sejarah. Ada juga yang tanya mengapa kutip levi? Kita tidak hanya kutip levi sebaliknya memastikan levi ini digunakan kembali untuk memperkasakan rakyat dengan meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja kami di negara ini ke tahap lebih hebat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran HRD Corp di Dewan Serbaguna Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Ming di sini.

Antara hadirin termasuklah Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood.
Kata Sim lagi, kelulusan yang diberikan bagi penggunaan levi pada tahun lepas berkata ia mencecah RM2.27 bilion daripada RM2.3 bilion, sekali gus menyaksikan peningkatan hampir 30 peratus berbanding 2023 (RM1.7 bilion).
Dalam pada itu, satu lagi berita baik disampaikan Sim sebanyak 85 peratus daripada tuntutan levi telah disalurkan, menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding tahun 2023.
“Bantuan kewangan tertinggi dicatatkan pada kadar 98 peratus, mencerminkan peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding tahun 2023.
“Tahun lalu, HRD Corp segerakan proses kelulusan untuk kegunaan levi daripada tujuh hari kepada dalam tempoh 24 jam, manakala tahun ini menyasarkan untuk melunaskan pembayaran levi daripada tujuh hari kepada tiga hari,” ujarnya. -MalayaDailyToday