KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak pernah menyebut mengenai berlakunya elemen rasuah dalam pentadbiran Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Justeru itu, peguam Amrit Pal Singh menyeru umum untuk ‘berlapang dada’ dan membiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara tersebut dengan penuh professional bagi mencapai tujuan yang disasarkan.
“SPRM baru sahaja mengadakan lawatan di HRD Corp, ada segelintir sudah buat pelbagai tanggapan dan spekulasi.
“Namun SPRM sendiri sudah menjelaskan pihaknya hanya akan menyiasat jika wujud sebarang elemen jenayah menjurus kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Sebagai seorang pengamal undang-undang, ingin saya tekankan prinsip perundangan dengan jelas menyatakan seseorang itu tidak boleh dihukum bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah.
“Janganlah hukum ikut andaian media sosial,” katanya hari ini. -MalayaDailyToday