HULU SELANGOR – “Ini semua strategi saat akhir ada niat untuk cuba lemahkan jentera, saya minta mana-mana pihak tidak menggunakan strategi politik murahan untuk mengaku sebagai ahli akar umbi bagi mengelirukan pengundi,”
Itu antara luahan Pengarah Strategi PKR Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad kepada MalayaDailyToday hari ini.
Saifudin yang merupakan Penyelaras DUN Batang Kali merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, menafikan dakwaan media parti itu tidak turun berkempen sehingga menjejaskan peluang calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao menang PRK Kuala Kubu Baharu, Sabtu ini.
Katanya langsung tidak timbul masalah peruntukan dakwaan pihak-pihak yang bersembunyi menggunakan nama ‘sumber’ tanpa tampil ke hadapan.
Malah katanya tiada aduan seumpama itu disampaikan ke bilik gerakan, melainkan melalui laporan media dan ‘surat aduan’ yang tidak menyebut nama pengadunya.
“Tuduhan ini disengajakan untuk melemahkan semangat jentera PKR yang bertanggungjawab menjaga enam pusat daerah mengundi (PDM), kesemuanya mempunyai jumlah pengundi Melayu teramai.
“PDM Bandar Utama Batang Kali, contohnya, mempunyai kira-kira 9,000 lebih pengundi, manakala Ampang Pechah ada 4,000 lebih pemilih, termasuk Batu 30 dan Lembah Beringin, jika campur kesemua daerah mengundi ini mewakili hampir keseluruhan pengundi di Kuala Kubu Baharu.
“Saya minta sangat-sangat, hentilah politik gimik murahan seperti ini. Jangan cuba guna strategi mengaku sebagai ahli akar umbi bagi mengelirukan umum terutamanya pengundi. Jika memang ada, tampil secara terbuka,” tegasnya.
Semalam portal FMT melaporkan jentera PKR didakwa tidak membantu kempen PH di Kuala Kubu Baharu kerana tiada peruntukan disalurkan PKR Selangor, berpunca rasa tidak puas hati dalam soal pemilihan calon.
Turut tersebar, surat aduan tanpa nama diutuskan kepada Datuk Seri Amirudin Shari dengan menyebut kesemua enam PDM dikendalikan PKR berdepan masalah dana, menyukarkan jentera untuk bergerak di setiap kawasan.
Kata Saifuddin lagi, jentera PKR bersama jentera perpaduan termasuk UMNO Barisan Nasional (BN) giat mengadakan aktiviti culaan dari rumah ke rumah selain penganjuran ceramah kelompok sehingga tujuh lokasi setiap hari.
“Saya adalah penyelaras DUN Batang Kali dan duduk di sini, saya hadir hampir semua mesyuarat jentera, hampir semua mesyuarat teknikal, tapi pelik juga apabila tidak ada pun isu mengatakan parti ini tak buat kerja, parti itu tak buat kerja.
“Lebih mengkagumkan apabila kita lihat UMNO BN juga tunjuk semangat turun padang dan semangat juang dalam kalangan jentera kerajaan Perpaduan. Semuanya beri komitmen berkali ganda sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas,” ujarnya. -MalayaDailyToday
Discussion about this post