HULU KELANG – “Perpaduan umat adalah kekuatan. Melalui majlis sebegini, kita bukan sekadar mengingati perjuangan Nabi Muhammad SAW, tetapi juga menjiwai nilai rahmah dan kasih sayang yang baginda bawa. Semangat ini mesti kita teruskan dalam kehidupan bermasyarakat.”
Demikian pesanan Dato’ Zainol Abidin Mohamed, Pengerusi Persatuan Penduduk Lembah Keramat (PPLK) merangkap Bendahari KEADILAN Gombak, ketika hadir dalam program sambutan Maulidur Rasul di Hulu Kelang yang berlangsung penuh semangat dan meriah semalam.
Program tersebut dianjurkan oleh Surau Al-Mustaqim, Lembah Keramat dengan kerjasama KAFA As-Sobirin serta KRT Lembah Keramat, selain Jawatankuasa Pembangunan, Kemajuan & Keselamatan Kampung (JPKKK) Kampung Pasir Hulu Kelang bersama Maahad Tahfiz MATIS dan Maahad Tahfiz Al-Hidayah, Taman Melawati.
Seawal pagi, suasana sekitar Lembah Keramat bergema dengan selawat dan qasidah apabila ratusan penduduk keluar berarak membawa sepanduk, kain rentang dan bunga manggar, sebagai tanda kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Kanak-kanak berpakaian serba putih kelihatan ceria mengibarkan bendera kecil, manakala golongan belia memimpin perarakan dengan laungan selawat beramai-ramai, disambut penuh semangat oleh warga emas yang turut serta.
Selain perarakan, majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh anak-anak, bacaan qasidah, serta ceramah khas Maulidur Rasul yang mengupas sirah perjuangan Nabi SAW dan kepentingan umat Islam meneladani akhlak baginda dalam kehidupan seharian.
Kemuncak acara ialah penyampaian hadiah Tokoh Maulidur Rasul sebagai penghargaan kepada individu yang banyak menyumbang dalam bidang dakwah, pendidikan agama dan pembangunan masyarakat di kawasan Hulu Kelang.

Zainol menegaskan, penyertaan generasi muda dalam program sebegini memberi harapan bahawa nilai kecintaan kepada Rasulullah SAW terus diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.
“Apabila anak-anak kecil sendiri memimpin selawat dan membuat persembahan nasyid, kita yakin Islam akan terus mekar dalam jiwa mereka. Inilah sebenar-benarnya roh Maulidur Rasul, bukan sekadar acara tahunan tetapi satu didikan,” katanya.

Sebagai pemimpin masyarakat setempat, beliau turut menekankan bahawa program sebegini bukan sahaja mengangkat syiar Islam, tetapi turut menjadi jambatan ukhuwah antara penduduk, tanpa mengira latar belakang sosial mahupun fahaman politik.
Penganjur memaklumkan, sambutan Maulidur Rasul di Hulu Kelang tahun ini mendapat penyertaan luar biasa, malah beberapa keluarga dari kawasan sekitar Ampang dan Melawati turut hadir bersama.
Bagi penduduk setempat, ia bukan sahaja acara keagamaan, tetapi juga ruang memperkukuh silaturrahim, membina semangat kejiranan dan memastikan generasi baharu terus meneladani akhlak mulia Rasulullah SAW.
Dengan sambutan yang penuh keberkatan ini, masyarakat Hulu Kelang berharap Maulidur Rasul akan terus menjadi tradisi tahunan yang lebih besar pada masa hadapan, sekali gus menyemarakkan lagi syiar Islam serta memperkukuh perpaduan umat di seluruh peringkat. -MalayaDailyToday