KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan pihaknya sedang menyiasat satu lagi kes kematian membabitkan pengamal perubatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, didakwa berpunca akibat dibuli ketika dalam perkhidmatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata siasatan dalaman bagi kes terbabit dibuat sejurus pihaknya menerima aduan mengenainya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi meneliti kes terbabit secara menyeluruh sebelum tindakan lanjut diambil.
“Saya maklum ada pihak mendakwa KKM lewat mengambil tindakan bagi membendung kes buli dalam kalangan pengamal perubatan, tetapi kementerian sebenarnya terus membuat siasatan dalaman sejurus menerima aduan, sama seperti dilakukan pada 2018.
“Ini termasuk kes yang tidak diketahui Yang Berhormat di mana ada kes kematian di Hospital Seberang Jaya, dikatakan akibat dibuli dan saya sedang menunggu dapatan daripada siasatan dalaman yang dilakukan,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan KKM lewat mengambil tindakan untuk membendung gejala buli dalam kalangan doktor, mengakibatkan kejadian sedemikian kerap berulang ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini. -MalayaDailyToday
Discussion about this post