JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi peringatan supaya cuti hujung minggu di Johor yang ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun depan tidak dipolitikkan.
Kata Onn Hafiz, setiap keputusan yang diambil adalah yang terbaik untuk negeri dan rakyat Johor secara keseluruhan.
Katanya, kerajaan negeri menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, di atas pengumuman penukaran cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad, Isnin lalu.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri berpandangan tidak semua perkara perlu dijadikan bahan politik.
“Perkara ini mendapat pandangan dari Mufti Besar dan EXCO Agama Islam Johor, dengan ketinggian Islam tidak sedikit pun berkurang bila mana Johor tidak lagi bercuti pada hari Jumaat bermula Januari 2025.
“Insya-Allah, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat Jumaat, kerajaan negeri yakin keputusan ini bakal memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor di mana mereka akan mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga tersayang dengan memudahkan mereka merancang aktiviti pada hujung minggu,” katanya.
Malam tadi, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah, cuti hujung minggu di Johor yang ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun depan adalah kehendak rakyat negeri ini untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak.
Titah baginda, penukaran cuti hujung minggu itu juga bakal membawa lesan ekonomi yang positif, seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di Johor.
“Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu,” titah baginda di akaun Facebook, malam tadi. -MalayaDailyToday
Discussion about this post