KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin tampil memberi suntikan semangat buat Datuk Seri Rafizi Ramli yang kalah dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR baru-baru ini dengan tegas menyatakan bahawa tidak ada keperluan untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi mahupun keluar daripada parti.
Mengulas kenyataan Rafizi yang sebelum ini pernah berjanji akan melepaskan jawatan menteri jika tewas dalam pemilihan parti, Khairy berkata, pelantikan Kabinet tidak semestinya bergantung kepada kedudukan dalam parti semata-mata.
“Dia pernah kata, secara prinsip, sesiapa yang pegang jawatan kanan dalam parti kerajaan persekutuan patut lepaskan jawatan kerajaan jika kalah dalam pemilihan parti. Tapi bagi saya, itu tak semestinya. Ramai yang dilantik jadi menteri bukan sebab pengaruh dalam parti, tapi kerana kebolehan dan kredibiliti mereka,” ujar Khairy yang pernah menyandang jawatan Menteri Kesihatan.
Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar puteri sulung Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertandingan yang hangat dan penuh emosi.
Namun, walaupun menyatakan kesediaan untuk berundur, Rafizi tetap kelihatan menjalankan tugasnya sebagai Menteri Ekonomi, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini.
Teruskan Perjuangan, Rafizi!
Khairy, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, turut berkongsi kisah peribadinya – di mana beliau sendiri pernah mencabar jawatan Presiden UMNO pada 2018, namun tetap setia bersama parti walaupun tewas, sebelum akhirnya disingkirkan.
“Saya dipecat dari UMNO, tapi Rafizi cuma kalah dalam pemilihan. Masa saya cabar Zahid dulu dan kalah, saya tetap kekal dalam UMNO. Bila saya dipecat, keputusan itu bukan pilihan saya. Saya tak pernah bermasalah dengan parti, saya cuma tawarkan diri untuk pimpin. Hubungan saya dengan Zahid pun baik,” katanya.
Dengan nada penuh keyakinan, Khairy menyeru Rafizi agar terus melangkah ke hadapan dan jangan sesekali berundur daripada perjuangan.
“Jadi, kepada Rafizi teruskan perjuangan! Saya tak nampak kenapa beliau perlu keluar parti atau tubuhkan parti baru. Saya tahu Rafizi ini, dari dulu lagi dia komited dengan perjuangan PKR. Jangan berhenti sekarang.”
Pesanan Khairy ini bukan sekadar ucapan biasa; ia satu seruan untuk Rafizi dan pemimpin muda lain agar kekal teguh dalam perjuangan, biarpun kalah dalam percaturan dalaman parti. Perjuangan belum tamat malah, baru sahaja bermula. -MalayaDailyToday