SEMENYIH – Projek Jalan Pintas Sungai Lalang sepanjang 4.3 kilometer yang dinanti penduduk Semenyih sejak puluhan tahun akhirnya dimulakan, susulan pelancaran Pembangunan Prasarana Awam Mukim Semenyih di Hulu Langat, hari ini.
Pengerusi KHK Land, Dato Zainol Abidin Mohamed, berkata projek berkenaan menandakan titik penting dalam usaha menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas kronik yang sekian lama membelenggu kawasan itu.
Beliau berkata, projek berkenaan merangkumi pembinaan Jalan Pintas Sungai Lalang yang menghubungkan Sungai Lalang ke Lebuhraya SILK, selain pembangunan Tapak Perkuburan Awam Persekutuan (Islam) bagi menampung keperluan umat Islam di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar.
“Cadangan projek ini sebenarnya telah bermula sejak 2016, namun hanya dapat dimuktamadkan dan direalisasikan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran hari ini.
Menurut Zainol, syarikat komited memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan, iaitu dalam tempoh tiga tahun bagi pembinaan jalan pintas dan dua tahun bagi pembangunan tapak perkuburan awam.

Beliau berkata, penyempurnaan Jalan Pintas Sungai Lalang kelak dijangka menamatkan masalah kesesakan lalu lintas yang terpaksa ditanggung penduduk Semenyih dan Hulu Langat selama beberapa dekad, selain meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan keluarga.
“Apabila kesesakan dapat diatasi, tekanan harian pengguna jalan raya akan berkurang dan masa bersama keluarga dapat dipertingkatkan,” katanya.
Selain itu, Zainol berkata, Tapak Perkuburan Awam Persekutuan yang akan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut dilengkapi kemudahan sokongan termasuk surau, pejabat pentadbiran, kuarters, bilik mesyuarat dan kafeteria.
Menurutnya, pembangunan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan asas umat Islam, khususnya dalam aspek pengurusan dan kemudahan pengebumian yang semakin mendesak di kawasan bandar.
Zainol turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor serta agensi terlibat termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Majlis Perbandaran Kajang dan Lembaga Lebuhraya Malaysia atas kerjasama dalam menjayakan projek berkenaan.

Beliau berkata, komitmen dan penyelarasan pelbagai agensi menjadi faktor utama yang membolehkan projek prasarana awam itu akhirnya direalisasikan selepas tertangguh sekian lama.
Majlis peluncuran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari serta Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar. -MalayaDailyToday





























































