KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggesa semua pengusaha hotel melaraskan masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara di mana pelanggan mendaftar masuk pada pukul 2 petang dan mendaftar keluar pada tengah hari keesokan harinya atau selewat-lewatnya pada pukul 1 petang.
“Ini merupakan perkara biasa dan tidak menjejaskan kebersihan atau kualiti penginapan. Saya faham jika hotel mahu menjimatkan kos dan dapat meraih keuntungan dengan lebih banyak jika berbuat demikian.
“Namun, perkara ini bukan hanya melibatkan keuntungan pemain industri semata-mata, malah pelanggan juga mahu merasakan wang yang dibelanjakan itu berbaloi dengan perkhidmatan yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.
Katanya, jika gagal mengikuti tempoh itu, pelanggan akan menerima pengalaman penginapan yang tidak memuaskan dan ini memberi gambaran jelas bahawa pihak hotel hanya mementingkan soal keuntungan dan bukannya kualiti perkhidmatan.
“Pelanggan yang berbelanja semestinya mahu melakukannya dengan senang hati. Jika pelanggan berpuas hati dengan apa yang dibelanjakan, pasti pengusaha akan gembira memperoleh keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.
Tiong turut berkata, beliau akan berbincang dengan jabatan berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian berhubungan kesulitan industri perhotelan mengambil pekerja asing.
Perkara itu dibuat susulan terdapat pengusaha hotel yang menyuarakan kebimbangan untuk melanjutkan tempoh penginapan yang dianggap bakal melambatkan tempoh proses pembersihan dan penyediaan bilik.
“Perkara yang akan dibincangkan termasuk memberi kemudahan kepada pengusaha hotel untuk mengambil pekerja asing secara terus tanpa melalui perantara,” katanya.
Selain itu, Tiong menjelaskan bahawa beliau telah mengarahkan Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk membantunya mewujudkan kursus yang menyediakan latihan pembersihan dan pengemasan bilik hotel.
“Orang yang terlibat akan menerima sijil setelah tamat latihan. Ini sekaligus dapat membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecekapan kerja di hotel selain meningkatkan imej profesional pelancongan Malaysia.” katanya.
Sebelum ini, kecoh di medai sosial tular tindakan sesetengah hotel yang menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula 4 petang dan keluar pada pukul 11 pagi.
Tindakan itu mencetuskan perbincangan netizen yang rata-ratanya merasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat. Ada yang mengatakan bukan sahaja hotel yang menetapkan seperti itu, malah beberapa inap desa turut bertindak sedemikian.
Lebih malang lagi, ada pelanggan dikenakan caj tambahan jika terlewat daftar keluar walaupun lewat kemasukan akibat menunggu ketersediaan bilik. -MalayaDailyToday
Discussion about this post