KUALA LUMPUR – Lesen agensi pelancongan yang terbabit dalam nahas di Genting Highlands semalam akan digantung jika perlu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia adalah langkah susulan yang bakal diambil, berpandukan kepada siasatan oleh kementerian.
Menurut beliau, kementerian telah diarahkan untuk melakukan siasatan terperinci ke atas agensi berkenaan, bagi menyiasat kemungkinan wujudnya pihak ketiga.
“Siasatan penuh akan dijalankan oleh kementerian berkenaan insiden ini. Saya telah arahkan pegawai, jika perlu, gantung lesen ejen pelancongan dan sesiapa sahaja yang terlibat.
“Kita mahu siasatan dijalankan secara telus dan terperinci. Jika terbukti mereka bersalah, kementerian tidak menolak kemungkinan membatalkan lesen mereka,” katanya hari ini.
King Sing berkata, MOTAC juga menerima beberapa aduan, antaranya bas digunakan tidak bersesuaian dengan aktiviti dilakukan.
“Semua pelancong yang terbabit nahas itu datang untuk lawatan enam hari lima malam, tapi sepanjang tempoh tersebut, agensi telah menukar bas digunakan sebanyak tiga kali.
“Bukan setakat bunyi terlalu bising, pendingin hawa juga tidak berfungsi dengan baik, sekali gus membuktikan kenderaan tersebut gagal diselenggara mengikut peraturan,” katanya.
Terdahulu, King Sing melawat mangsa kemalangan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan beliau turut diiringi Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yuging.
Dalam nahas jam 11 pagi itu, bas terbabit dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan ketika dalam perjalanan ke ibu negara di kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.
Insiden tersebut meragut nyawa dua pelancong lelaki China, dikenali sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49 serta mencederakan 13 yang lain. – MalayaDailyToday