SEBERANG PERAI – Perasmian Galeri Arkeologi Guar Kepah hari ini disifatkan sebagai satu detik penting dalam usaha memelihara dan memartabatkan warisan arkeologi negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata galeri yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penaga itu bukan sahaja memperkukuh usaha pemuliharaan warisan, malah membuka ruang baharu kepada pembangunan pelancongan berasaskan ilmu dan sejarah.
“Galeri Arkeologi Guar Kepah merupakan satu inisiatif penting Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memelihara khazanah arkeologi yang amat bernilai. Ia bukan sekadar tapak sejarah, tetapi bukti kewujudan masyarakat prasejarah di negara ini,” katanya.

Menurut beliau, galeri berkenaan akan menempatkan Koleksi Rangka Guar Kepah termasuk kotak asal penyimpanannya yang dibawa pulang dari Belanda pada 30 Ogos lalu.
Katanya, Tapak Bukit Cengkerang Kepah menjadi bukti kewujudan masyarakat prasejarah Neolitik di Pulau Pinang sejak kira-kira 5,000 hingga 6,000 tahun dahulu.
“Inisiatif ini melengkapkan peta pelancongan arkeologi di wilayah utara Semenanjung Malaysia dan mengangkat nilai sejarah tempatan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Tiong berkata pembangunan galeri itu turut menyumbang kepada usaha mempelbagaikan produk pelancongan negara dengan memberi tumpuan kepada pelancongan berasaskan ilmu, sejarah dan budaya.
Menurutnya, pendekatan tersebut sejajar dengan aspirasi kementerian untuk memperkasa sektor pelancongan yang lebih berkualiti dan berimpak tinggi.
“Kita mahu pelancongan yang bukan sahaja menarik dari segi destinasi, tetapi juga memperkayakan pengetahuan dan kefahaman tentang tamadun serta identiti negara,” katanya.

Beliau menegaskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan terus menyokong inisiatif pemuliharaan warisan seumpama itu agar khazanah negara dapat dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Warisan adalah identiti kita. Jika tidak dipelihara dengan baik, kita bukan sahaja kehilangan sejarah, tetapi juga jati diri sebagai sebuah bangsa,” katanya. -MalayaDailyToday


































































