KUALA LUMPUR – Firma guaman terkenal, Rosli Dahlan Saravana (RDS) telah menulis kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memohon kebenaran syarikat dana strategik negara itu untuk memberikan persetujuan untuk menyerahkan beberapa dokumen sulit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini merupakan dokumen-dokumen sulit itu berkaitan perjanjian penyelesaian antara Goldman Sachs dan kerajaan yang dianggarkan bernilai AS$6.5 bilion.
RDS telah mendedahkan perkara itu dalam afidavit balas selepas SPRM bertindak memfailkan saman yang sebelum ini telah memohon dokumen-dokumen berkenaan daripada firma guaman itu.
Ketika ini, SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan penyelesaian dimeterai antara kerajaan dengan Goldman Sachs berhubung 1MDB.
Menurut rakan kongsi firma berkenaan, Datuk Palpanaban Devarajoo berkata, pihaknya telah menulis kepada 1MDB untuk memohon persetujuan terlebih dahulu yang merupakan dokumen sulit dan rahsia.
Semalam media melaporkan SPRM telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi ‘memaksa’ RDS dan sebuah lagi firma guaman menyerahkan beberapa dokumen berkait siasatan penyelesaian antara Goldman Sachs itu.
Satu lagi firma yang dimaksudkan itu ialah Chetan Jethwani & Company yang mana sebutan kesnya semalam di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Jamil Hussin manakala hari ini bagi RDS di hadapan Hakim Datuk K Muniandy. -MalayaDailyToday