KUALA LUMPUR – Kafe serbaguna pilihan umum di negara ini, FamilyMart Malaysia telah menghentikan penjualan minuman alkohol di semua 360 kedainya bagi memberikan keyakinan tambahan kepada para pelanggannya.
Pengarah Urusan QL Maxincome Sdn Bhd Chia Lik Khai berkata usaha berkenaan dilaksanakan sejak Mac lepas dalam memastikan pelanggan berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was di premis mereka.
“Minuman alkohol adalah penyumbang kecil dalam perniagaan kami setakat ini. Jadi, kami menjangkakan kesannya adalah amat minimum dan kami menumpukan perbelanjaan kepada makanan dan minuman untuk menampung jualan,” katanya selepas produk FamilyMart Malaysia mendapat pensijilan halal pertama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Untuk makluman umum juga, pengiktirafan ini sekaligus menjadikan kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia menerima pengiktirafan itu.
Chia berkata konsep yang disahkan halal ini menyajikan minuman dan makanan yang sedia untuk dimakan termasuk oden, snek panas seperti chiki katsu rangup dan sosej (corndog), serta sofuto.
Katanya sehingga kini terdapat 16 FamiCafé di Malaysia, dengan sasaran untuk membuka 50 FamiCafé menjelang akhir tahun ini selain menyasarkan status halal untuk 300 FamiCafé menjelang 2025. -MalayaDailyToday
Discussion about this post