KUALA LUMPUR – Enam negeri akan terus mengekalkan persefahaman untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan pada Julai depan.
Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pihaknya telah sepakat dalam pertemuan enam Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang diadakan Februari lalu setakat ini tidak berubah.
Muhamad Sanusi memberi bayangan akan adanya ‘risiko’ kepada kedua-dua gabungan parti sekiranya PRN tidak diadakan serentak.
“Dalam pertemuan itu, kami bincang mengenai perkara (bubar) itu lah. Sekiranya diberikan cuti serentak bolehlah balik mengundi dan itu yang sebaiknya. Saya percaya masih ada persefahaman itu.
“Tetapi saya tidak pastilah kalau PH tiba-tiba tukar angin. PN masih sama mahukan tarikh pilihan raya yang sama di Kedah, Kelantan, Terengganu,” katanya kepada media hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) tampil yakin BN dan PH mampu memberi saingan di negeri-negeri yang memiliki majoriti Melayu yang ditadbir Pas di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Katanya jentera kedua-dua parti kini berada dalam keadaan siap siaga termasuk memperbaiki kelemahan-kelemahan lalu untuk berdepan saingan PRN.
Beliau juga percaya trend sokongan pengundi akan berubah dalam PRN akan datang berbanding pada PRU15 lalu. -MalayaDailyToday