KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara memberhentikan prosiding terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh memutuskan permohonan semakan kehakiman oleh Badan Peguam itu bukanlah sesuatu untuk diputuskan oleh mahkamah itu selain memulakan prosiding bagi tujuan itu.
Selain itu, Amarjeet juga memerintahkan Badan Peguam untuk membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Peguam Negara.
Badan Peguam pada 2 Disember lepas cuba mencabar keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepaskannya tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana milik Yayaysan Akalbudi.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada lapan pertuduhan rasuah, 12 dakwaan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi pada September tahun lalu.
Ini selepas pendakwaan memaklumkan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman dan memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan, dibatalkan. -MalayaDailyToday
Discussion about this post