KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari diberitahu pengarang portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown akan mendapat perbicaraan adil di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Clare sedang berdepan saman fitnah selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah melalui buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.
Clare rakyat Britain sedang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 Sept 2021 atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding pagi ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman berhujah sambil menegaskan pengarang itu akan mendapat pengadilan di Mahkamah Terengganu tanpa sebarang campur tangan istana.
“Pembelaan tidak menunjukkan bagaimana Mahkamah Rendah di Kuala Terengganu akan berlaku tidak adil jika kes tersebut didengar di sana. Sepanjang proses pendakwaan, tidak ada sebarang campur tangan Istana Terengganu,” katanya.
Hakim menetapkan 21 Jun bagi keputusan membenarkan pemindahan atau sebaliknya. -MalayaDailyToday