KUALA LUMPUR – FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) hari ini meneruskan aliran menurunnya bagi hari kedua berturut-turut untuk ditutup rendah pada Rabu berikutan aktiviti jualan terutamanya dalam saham perbankan sejajar dengan prestasi lemah di bursa serantau lain.
Setakat jam 5 petang tadi, petunjuk pasaran itu susut sebanyak 6.95 mata atau 0.48 peratus kepada 1,425.68 daripada paras penutup 1,432.63 pada Selasa.
Indeks utama itu dibuka tinggi naik 0.48 mata kepada 1,433.11 dan bergerak antara jajaran 1,424.53 dan 1,433.68 sepanjang sesi dagangan.
Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 438 berbanding 364 manakala 435 kaunter tidak berubah, 1,005 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 2.78 bilion unit bernilai RM1.65 bilion daripada 3.45 bilion unit bernilai RM2.12 bilion pada Selasa.
Indeks perkhidmatan kewangan jatuh 0.74 peratus atau 117.62 mata kepada 15,597.95. -MalayaDailyToday