BATAM – Indonesia merupakan antara destinasi pelacongan utama yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia apatah lagi hubungan budaya dan ketersambungan yang dikongsi antara kedua-dua negara.
Mengambil kira perkembangan pesat itu, syarikat penerbangan popular, Batik Air tampil dengan melancarkan laluan terbaru destinasi percutian popular, Batam di Kepulauan Riau ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur ke Batam bermula 16 Februari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Hang Nadim, Pikri Ilham Kurniansyah, beliau sangat teruja dengan kerjasama dengan Batik Air.
Kata beliau, selain warga Singapura, rakyat Malaysia memilih Batam sebagai destinasi pelancongan dan angka itu terus melonjak tinggi selepas pandemik Covid-19.
“Kita sangat menghargai inisiatif dan usaha dilakukan oleh Batik Air dengan memberikan perkhidmatan penerbangan antara Batam – KUL yang beroperasi tiga kali seminggu, sambutan sungguh mengalakkan. Kita optimis dan menjangkakan sekurang-kurangnya dua juta pelancong Malaysia ke sini tahun ini.
“Kami memilih Batik Air sebagai rakan strategik sebagai jaringan penerbangan dari Batam hingga ke seluruh dunia. Ini akan memberi peluang kepada Lapangan Terbang Hang Nadim dan KL berkembang bersama-sama syarikat penerbangannya sekali.
“Perkhidmatan Batik Air ke Batam memberikan peluang kepada rakyat Malaysia berkunjung ke sini dengan mudah. Bukan rakyat Malaysia tetapi juga rakyat Indonesia bakal melancong ke Batam dan KL sahaja tetapi ke seluruh dunia,” katanya.
Kata beliau, jangkaan dua juta pengunjung dari Malaysia ke Batam pasti dicapai tahun ini dengan kehadiran rakan strategik seperti Batik Air.
“Sebelum ini, Malindo ada memberikan perkhidmatan laluan Batam ke Subang namun kini buat kali apabila ianya melalui laluan Batam – KUL, ramai akan memilih laluan yang turut menghubungkan ke negara lain-lain melalui penerbangan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pengenalan penerbangan terus dari Batam ke Kuala Lumpur merupakan langkah strategik untuk mengembangkan kehadiran syarikat penerbangan itu di pasaran utama.
“Laluan baharu ini membolehkan penumpang dari Batam menyambung ke rangkaian penerbangan Batik Air yang semakin berkembang ke 53 destinasi merentasi 22 negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” ujarnya.
Batik Air bakal beroperasi tiga kali seminggu dengan pesawat Boeing 737.
Laluan baharu ini menekankan komitmen mengembangkan pertumbuhan rangkaiannya di Asia Tenggara sambil memenuhi peningkatan permintaan untuk perjalanan intraserantau.
Indonesia menduduki tempat kedua dalam 10 pasaran tertinggi di ASEAN yang menjana pelancong ke Malaysia, menyumbang 2.8 juta ketibaan antara Januari dan November 2023.
Laluan baharu itu dijangka merancakkan lagi pelancongan antara kedua-dua negara, selaras dengan sasaran Malaysia menerima 27.3 juta pelancong pada 2024 dan menjana pendapatan RM102.7 bilion. =MalayaDailyToday
Discussion about this post