KUALA LUMPUR – Masyarakat pelbagai kaum perlu bersatu dan berbangga dengan warisan masing-masing dan terus mempertahankan kepelbagaian budaya yang dimiliki.
Itu luahan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr. Kelvin Yii yang melihat tidak wajar untuk beberapa pemimpin menimbulkan perselisihan dan perpecahan terhadap pengiktirafan ‘Bak Kut Teh’ sebagai Makanan Warisan Kebangsaan.
Menurutnya lagi, tanggapan bahawa makanan berkenaan tidak wajar diiktiraf disebabkan bahan-bahan yang digunakan tidak halal adalah dangkal tanpa memahami warisan sejarah dan budaya hidangan tersebut di negara ini.
“Bak Kut Teh jika diterjemahkan bermakna Teh Tulang Daging. Walaupun kerap dimasak dengan daging khinzir, tetapi masakan ini tidak terhad kepada penggunaan daging babi sahaja.
“Malah, boleh menggunakan pelbagai jenis daging termasuk ayam yang dikenali sebagai Chit Kut Teh, begitu juga daging lembu, kambing dan juga makanan laut.
“Begitu juga kita gembira dengan pengiktirafan Mi Kolok dari Sarawak yang juga boleh disediakan dalam pelbagai cara, halal atau tidak halal.
“Justeru, pengiktirafan hidangan itu harus dilihat berdasarkan rasa dan ciri khas masakan itu sendiri, selain sejarah serta asal usul hidangan tersebut di negara kita.
Bukan sekadar melihat sama ada ia halal atau tidak,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, jika tanggapan seperti ini dibiarkan, ia boleh mendorong kepada perpecahan, sekali gus kehilangan kelebihan daya saing berbanding negara jiran yang gigih mengiktiraf makanan warisan untuk mempromosikan budaya dan pelancongan kepada dunia.
“Maka, kita semua mesti mengakui dan menghargai kepelbagaian yang kita miliki di negara ini termasuk kekayaan budaya dan warisan walaupun dalam makanan.
“Hal ini sepatutnya menyatukan kita, bukan sebaliknya memecahbelahkan perpaduan disebabkan sentimen melampau,” tegasnya.
Katanya, pengiktirafan Bak Kut Teh dan 10 bahan makanan lain baru-baru ini termasuk Mi Kolok dari Sarawak sebagai Makanan Warisan Kebangsaan seharusnya menjadi kebanggaan bagi seluruh rakyat Malaysia sebagai cerminan kepelbagaian dan kekayaan budaya sebagai sebuah negara majmuk. -MalayaDailyToday
Discussion about this post