KUALA LUMPUR – Badan Peguam mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kerana didakwa gagal mempertahankan institusi kehakiman daripada serangan pihak tertentu serta gagal menegakkan kedaulatan undang-undang.
Perkara itu merupakan salah satu daripada enam resolusi yang diputuskan Badan Peguam dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) malam tadi.
Badan Peguam juga kecewa dengan kegagalan Idrus bersuara dan bertindak terhadap serangan dan tuduhan rasuah melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Dakwanya lagi, tindakan itu menjejaskan kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang serta pengabaian tugas oleh Peguam Negara.
Selain itu, Badan Peguam menegur tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang dikatakan menjejaskan kebebasan institusi kehakiman.
Teguran itu dibuat ekoran kenyataan Azalina yang mengesahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mohd Nazlan di Dewan Rakyat pada 14 Februari lalu. -MalayaDailyToday
Discussion about this post