PUTRAJAYA – Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkuat kuasa Jumaat ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pelantikan semula Azam adalah untuk tempoh selama setahun dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Pelantikan itu adalah untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa 12 Mei 2023,” katanya.
Azam telah memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali sebagai SPRM) pada 1984. -MalayaDailyToday